Welcome Note:


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, November 3, 2009

Imbas Kembali - RMKe-9 (2006-2010)

:: RANCANGAN MALAYSIA KE SEMBILAN (2006-2010) ::

BAB 03 : MEMPERKASA PERTANIAN DAN INDUSTRI BERASASKAN PERTANIAN






III : PROSPEK 2006-2010






3.33 Pembangunan sektor pertanian dalam RMKe-9 akan ditumpukan kepada pembangunan Pertanian Baru. Pendekatan ini melibatkan perkembangan pertanian komersil berskala besar yang meluas dan penerokaan aktiviti pengeluaran dan pemprosesan berkualiti yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi serta memanfaatkan sepenuhnya potensi dalam bioteknologi. Produktiviti, kecekapan serta potensi dalam penjanaan pendapatan dan kekayaan akan dipertingkatkan melalui penggunaan kaedah pertanian moden dan ICT, pengukuhan R&D dan inovasi, peningkatan keupayaan pemasaran dan penggalakan penyertaan meluas sektor swasta termasuk usahawan tani dan tenaga kerja mahir. Penggunaan tanah secara optimum serta penyatuan dan pemulihan tanah akan diberi keutamaan.Sektor pertanian dijangka berkembang pada kadar tahunan purata yang lebih tinggi sebanyak 5.0 peratus. Dengan mengambilkira industri berasaskan pertanian, kadar pertumbuhan dijangka meningkat kepada 5.2 peratus. Isu berkaitan kewujudan kelompok kemiskinan di kalangan petani kecil, proses penukaran daripada kebun kecil kepada ladang moden yang perlahan dan kekangan tanah pertanian akan juga ditangani.

Teras Dasar

3.34 Dalam tempoh Rancangan, teras dasar sektor pertanian secara keseluruhannya akan ditumpukan kepada usaha mengorientasikan semula sektor ini ke arah pengkomersilan yang lebih meluas dan melahirkan petani berpendapatan tinggi serta menggalakkan pelaburan sektor swasta yang lebih besar termasuk pelaburan asing. Sehubungan ini, teras dasar adalah seperti yang berikut:

a) meningkatkan pengeluaran pertanian termasuk penerokaan sumber pertumbuhan baru dengan penyertaan sektor swasta yang lebih besar;

b) mengembangkan aktiviti pemprosesan berasaskan pertanian dan kepelbagaian produk;

c) memperkukuhkan pemasaran dan rangkaian global;

d) meningkatkan pendapatan pekebun kecil, petani dan nelayan; dan

e) menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan.

Meningkatkan Pengeluaran Pertanian

3.35 Dalam tempoh Rancangan, usaha akan dilaksana untuk meningkatkan pengeluaran pertanian melalui pembangunan tanah baru, tanam semula, penyatuan dan pemulihan tanah serta penggunaan lebih meluas klon dan baka berhasil tinggi, pejenteraan ladang dan amalan agronomi yang baik ke arah peningkatan produktiviti. Sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan terus digalakkan untuk meningkatkan pelaburan pertanian melalui insentif dan sokongan yang lebih baik.

3.36 Pengeluaran minyak sawit dijangka meningkat pada kadar purata 5.5 peratus setahun dengan peluasan kawasan tanaman dan OER yang lebih tinggi, seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 3-4. Pembangunan sektor kecil getah akan ditumpukan kepada mempergiat usaha menyatu dan memulih kebun kecil getah untuk meningkatkan produktiviti. Sehubungan ini, kawasan optimum seluas 800,000 hektar akan dikekalkan sebagai zon pengeluaran getah menjelang tahun 2020 untuk memenuhi keperluan industri pemprosesan getah tempatan. Pengeluaran koko akan dipertingkat untuk membekalkan bahan mentah kepada industri pemprosesan hiliran tempatan. Pengeluaran lada hitam dijangka meningkat menerusi peningkatan produktiviti dan galakan GAP di kalangan petani. Industri penanaman tembakau akan terus distruktur semula selaras dengan komitmen kepada Konvensyen Rangka Kerja Mengenai Kawalan Tembakau. Pengeluaran kayu balak akan terus berdasarkan kepada pengurusan hutan secara mampan. Sehubungan ini, ACR akan ditetapkan pada 266,940 hektar setahun.

Jadual 3-4 : Pengeluaran Komoditi Pertanian 2000-2010



3.37 Sektor kecil komoditi makanan dijangka berkembang pada kadar purata 7.6 peratus setahun melalui penambahbaikan kecekapan dan produktiviti serta penambahan keluasan. Eksport komoditi makanan akan ditingkatkan untuk mencapai imbangan dagangan makanan yang positif, seperti ditunjukkan dalam Jadual 3-5. Pengeluaran padi akan ditingkatkan untuk mencapai sasaran tahap sara diri 90 peratus, seperti ditunjukkan dalam Jadual 3-6. Pengeluaran buah-buahan akan dilaksanakan secara berskala besar di zon pengeluaran buah-buahan menggunakan pendekatan pembangunan secara berkelompok dan akan ditumpukan kepada sembilan jenis buah-buahan yang mempunyai potensi eksport. Pengeluaran sayur-sayuran pula akan ditumpukan kepada jenis yang bernilai tinggi untuk penggunaan tempatan dan pasaran eksport terpilih. Program Buku Hijau untuk menggalakkan pengeluaran makanan oleh masyarakat setempat akan diaktifkan semula.

3.38 Pengeluaran ikan akan ditumpukan kepada peluasan akuakultur dan aktiviti penangkapan ikan laut dalam. Akuakultur termasuk penternakan ikan laut akan memberi tumpuan kepada jenis yang bernilai tinggi seperti siakap, kerapu dan udang harimau. Pembangunan industri ternakan akan ditumpukan kepada pelbagai aktiviti di sepanjang rantaian nilai termasuk pengeluaran baka dan makanan haiwan. Bagi memenuhi permintaan yang meningkat terhadap makanan haiwan dan mengurangkan import, usaha akan diambil bagi meningkatkan penggunaan bahan berasaskan beras dan makanan ternakan tempatan lain termasuk kenaf serta pelepah dan bahan sampingan kelapa sawit. Keluaran ternakan terutamanya daging ayam itik dan telur akan terus ditingkatkan melalui penggunaan sistem pengeluaran moden untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan dan luar negara.

Jadual 3-5 : Eksport dan Import Makanan 2000-2010



Jadual 3-6 : Tahap Sara Diri Komoditi Makanan (%) 2000-2010



3.39 Sumber Pertumbuhan Baru. Pembangunan sumber pertumbuhan baru dalam sektor pertanian akan dipergiat dalam tempoh Rancangan. Sehubungan ini, pengeluaran berskala besar bagi tuna, ikan dan tumbuh-tumbuhan hiasan, florikultur, herba dan rumpai laut akan digalakkan melalui penyediaan khidmat pengembangan, insentif, infrastruktur asas, kemudahan pemasaran dan penggalakan aktiviti pemprosesan hiliran. Pembinaan Pelabuhan Tuna Antarabangsa Malaysia di Batu Maung, Pulau Pinang yang dijangka siap dalam tempoh Rancangan akan membolehkan pendaratan tuna yang lebih banyak dan mempercepat aktiviti pemprosesan tuna. Di samping itu, R&D bagi amalan agronomi dan pembangunan produk serta pengkomersilan produk daripada biojisim dan produk baru daripada bioteknologi akan terus dipergiat. Langkah juga akan diambil untuk menggalakkan lagi industri nurseri dan landskap.

3.40 Sanitari and Fitosanitari (SPS) serta langkah biokeselamatan akan dipertingkatkan lagi untuk mengurangkan risiko dan kerugian pengeluaran pertanian serta mempertingkatkan potensi negara dalam memperkembangkan eksport produk makanan. Program pembasmian khusus akan diperkukuh untuk mengawal dan membendung penyakit yang menjejaskan kepentingan ekonomi dan penternakan, seperti penyakit kuku dan mulut (FMD), Highly Phatogenic Avian Influenza (HPAI), citrus greening dan virus white spot akan diperkukuhkan dan zon bebas penyakit akan diwujudkan dalam tempoh Rancangan. Kemunculan dan kemasukan penyakit baru ke dalam negara akan diminimumkan melalui pengurusan risiko dan bina upaya yang lebih berkesan.

3.41 Pengeluaran produk makanan halal akan terus digalakkan untuk merebut peluang daripada potensi pasaran eksport halal yang luas. Langkah ini termasuk pemprosesan dan pembungkusan keluaran daging, ikan dan keluaran berasaskan makanan yang lain. Di samping itu, Malaysia akan dibangunkan sebagai pusat pensijilan produk halal dan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan dipromosi ke seluruh dunia.

3.42 Pembiayaan. Institusi kewangan akan digalakkan untuk menyediakan dana yang mencukupi bagi pelaburan dalam pengeluaran pertanian, pemprosesan, aktiviti berasaskan pertanian dan aktiviti lain yang berkaitan. Langkah akan diambil oleh Bank Negara Malaysia untuk memastikan akses yang lebih mudah mendapatkan kredit. BPM akan disusun semula untuk memperkukuhkan keupayaan dan kemampuannya dalam menyediakan pinjaman. Tabung Untuk Makanan akan diteruskan terutamanya untuk membiayai projek pengeluaran makanan berskala sederhana dan besar termasuk penangkapan ikan laut dalam. Untuk memudahkan penyertaan petani dan nelayan kecil dalam pelbagai projek, kemudahan kredit mikro akan disediakan.

Pembangunan Tanah Baru

3.43 Pembangunan tanah baru akan ditumpukan kepada usaha meningkatkan kawasan tanaman kelapa sawit oleh sektor swasta. Di samping itu, pengeluaran berskala besar dan sistem perkebunan kepersisan akan dilaksanakan di zon pengeluaran baru bagi buah-buahan, sayur-sayuran, akuakultur dan ternakan. Pembangunan yang lebih teratur bagi zon ini akan dilaksanakan melalui empat pendekatan utama iaitu Ladang Moden dan TKPM untuk pengeluaran berskala besar oleh sektor swasta serta Kawasan Pembangunan Pertanian Tertumpu (ACDA) dan Projek Pembangunan Kawasan Khas (ASDP) untuk usahawan dan petani kecil. Pembangunan Ladang Moden akan melibatkan perolehan tanah negeri yang luas oleh Kerajaan Persekutuan untuk dipajak kepada sektor swasta bagi melaksanakan projek pertanian moden. TKPM pula melibatkan pewartaan tanah oleh kerajaan negeri untuk tujuan yang sama. Pembangunan TKPM dijangka meliputi kawasan tambahan seluas 2,380 hektar melibatkan 600 usahawan di pelbagai negeri. ACDA dan ASDP pula melibatkan pembangunan semula tanah petani sedia ada yang tidak produktif dan berselerak dan akan dilaksanakan pada skala yang lebih kecil. Sejumlah 13 buah ACDA dan 8 buah ASDP akan ditubuhkan dalam tempoh Rancangan. Penggunaan tanah pertanian dijangka meningkat pada kadar purata 1.5 peratus dalam tempoh Rancangan, seperti ditunjukkan dalam Jadual 3-7.

Jadual 3-7 : Penggunaan Tanah Pertanian 2000-2010



Program Tanam Semula

3.44 Program tanam semula getah dan kelapa sawit yang melibatkan 383,010 hektar akan dilaksanakan terutamanya oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (RISDA) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), seperti ditunjukkan dalam Jadual 3-8. Sehubungan ini, penggunaan klon yang berhasil tinggi akan digalakkan. Tanam semula getah yang menggunakan klon balak lateks untuk kayu getah akan dipergiat. Untuk mengurangkan penebangan balak daripada hutan semula jadi, pelaksanaan ladang hutan termasuk ladang hutan getah akan dipercepat. Usaha akan diambil untuk mencapai sasaran tahunan sebanyak 25,000 hektar bagi ladang hutan yang ditanam dengan spesies balak yang cepat membesar dan bernilai tinggi.

Jadual 3-8 : Program Tanam Semula, Penyatuan & Pemulihan Tanah Mengikut Agensi 2001-2010



Penyatuan dan Pemulihan Tanah

3.45 Program penyatuan dan pemulihan tanah akan diteruskan pada skala yang lebih besar untuk mempercepat pemodenan kebun kecil serta meningkatkan produktiviti khususnya getah, padi, buah-buahan, sayur-sayuran, koko, lada hitam dan sagu. Pesawah padi di luar kawasan jelapang akan digalakkan untuk mengusahakan jenis padi yang berkualiti tinggi serta menukar kegunaan tanah mereka kepada kegunaan lain yang dapat menghasilkan pendapatan lebih baik.

3.46 Infrastruktur Pertanian. Dalam tempoh Rancangan, infrastruktur pertanian terutamanya kemudahan pengairan dan saliran, jalan ladang dan lintasan akan dinaik taraf dan dipertingkat bagi menyokong penggunaan teknologi dan pejenteraan moden secara meluas. Kepadatan purata pengairan dan saliran sebanyak 20 meter sehektar akan dipertingkat kepada 50 meter sehektar bagi mencapai hasil padi yang lebih tinggi. Di samping itu, amalan pengurusan sumber air yang baik akan diguna pakai termasuk penggunaan Sistem Sokongan Keputusan dan kawalan pintu air secara automatik bagi memastikan pengagihan air yang serata dan menyokong pelaksanaan konsep ‘pembekalan air ikut permintaan’.

Peningkatan Produktiviti

3.47 Usaha untuk mempertingkat produktiviti akan dilaksanakan melalui penggunaan klon berhasil tinggi dan penambahbaikan dalam amalan agronomi di kalangan pekebun kecil dan perladangan serta peningkatan pejenteraan. Di samping itu, penyediaan khidmat sokongan dan infrastruktur yang mencukupi di kawasan pengeluaran pertanian dijangka dapat meningkatkan lagi produktiviti dalam sektor ini, seperti ditunjukkan dalam Jadual 3-9.

Jadual 3-9 : Produktiviti Komoditi Pertanian (%) 2000-2010



3.48 Produktiviti akan juga ditingkatkan melalui penggunaan teknologi terkini dan sistem pengeluaran berasaskan pengetahuan yang lebih meluas. Bagi memastikan kawalan kualiti dan piawai tinggi dalam perladangan kelapa sawit serta meningkatkan produktiviti, usaha akan ditumpukan untuk menggalakkan ladang mengguna pakai piawai antarabangsa. Di samping itu, untuk mencapai Wawasan 35:25, iaitu sasaran 35 tan metrik buah tandan segar (BTS) sehektar dan 25 peratus OER, pihak ladang akan digalak untuk menggunakan benih kelapa sawit yang berkualiti. Kemudahan kredit yang mencukupi akan disediakan untuk menggalakkan pekebun kecil menanam semula kelapa sawit yang berumur lebih 25 tahun dengan klon berhasil tinggi.

3.49 Usaha akan dipergiatkan untuk meningkatkan lagi produktiviti dan pengeluaran padi di lapan kawasan jelapang padi untuk mencapai sasaran hasil 10 tan metrik sehektar. Usaha ini adalah sebagai langkah persediaan awal untuk meningkatkan daya saing pengeluar tempatan untuk mengekalkan kedudukan mereka apabila terlaksananya Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA).

3.50 Pembinaan tukun tiruan dan lindungan ikan untuk memperkaya sumber pesisir pantai dan pembangunan penternakan ikan laut secara berskel besar berasaskan komuniti akan dilaksana untuk melonjakkan pengeluaran ikan pesisir pantai. Produktiviti perikanan laut akan dipertingkat lagi dengan menaik taraf keupayaan kapal dan peralatan menangkap ikan. Pelaburan dalam bidang akuakultur termasuk aktiviti akuakultur pesisir pantai secara intensif menggunakan teknologi dan sistem pengurusan baru akan digalakkan lagi. Untuk meningkatkan pendaratan ikan laut dalam termasuk tuna serta menyokong perkembangan aktiviti huluan dan hiliran berasaskan perikanan, sebuah konsortium perikanan di peringkat nasional iaitu Konsortium Perikanan Nasional Berhad (KPNB) yang diterajui oleh sektor swasta akan ditubuhkan.

3.51 Penyelidikan dan Pembangunan. Aktiviti R&D akan diperkukuh lagi untuk menambah baik produktiviti. Sehubungan ini, aktiviti R&D akan berorientasikan pasaran dan memberi tumpuan kepada penghasilan benih dan baka yang berhasil tinggi, kawalan penyakit dan perosak, pengendalian lepas tuai serta pejenteraan. Usaha yang lebih giat akan dilaksanakan dalam pembangunan teknologi penanaman yang lebih baik manakala penyebaran maklumat mengenai teknologi baru kepada kumpulan sasar akan dipercepatkan.

3.52 Pembangunan Modal Insan. Dalam tempoh Rancangan, produktiviti buruh dijangka meningkat pada kadar purata 6.2 peratus setahun. Tumpuan akan diberikan kepada penyediaan latihan untuk mengubah minda dan sikap petani dan nelayan serta generasi muda termasuk yang berpendidikan tinggi untuk terlibat secara lebih berkesan dalam aktiviti pertanian moden dan berasaskan komersil. Usaha ini akan mewujudkan peluang pekerjaan terutamanya di kalangan siswazah menganggur. Sejumlah 657,720 usahawan dan petani dijangka dilatih dalam tempoh Rancangan, seperti ditunjukkan dalam Jadual 3-10. Sehubungan ini, beberapa institusi latihan pertanian akan dinaik taraf untuk melaksanakan program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan selaras dengan NOSS. Di samping itu, institusi pengajian tinggi akan mengkaji semula pengajian sedia ada dan membangunkan kurikulum baru bagi memenuhi keperluan pasaran. Kemahiran akan dibangunkan dalam bidang seperti perikanan laut dalam, akuakultur, pembiakan ikan hiasan, penanaman rumpai laut dan pemprosesan berasaskan pertanian. Pekerja pengembangan juga akan dilatih semula untuk memberi perkhidmatan yang lebih berkesan kepada kumpulan sasar.

3.53 Selaras dengan dasar untuk menjadikan pertanian sebagai perniagaan yang berdaya maju, usaha yang lebih gigih akan diambil untuk membangunkan usahawan tani baru, memperkasa usahawan kecil dan sederhana yang sedia ada serta menggalakkan pengeksport pertanian. Langkah ini termasuk program pembangunan keusahawanan untuk membangunkan lebih ramai usahawan tani Bumiputera yang berkebolehan. Sehubungan ini, latihan khas, kemudahan kredit dan bantuan teknikal akan disediakan. Usaha juga akan diambil untuk membangunkan usahawan di kalangan generasi baru peneroka FELDA dan peserta di kawasan projek pembangunan tanah yang lain.

Jadual 3-10 : Latihan Pertanian Mengikut Agensi 2001-2010



Mengembangkan Pemprosesan Berasaskan Pertanian dan Kepelbagaian Produk

3.54 Dalam tempoh Rancangan, pembangunan berasaskan pertanian akan bertumpu kepada meningkatkan penggunaan keluaran pertanian dalam pengeluaran produk yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi serta aktiviti pemprosesan. Usaha akan ditingkatkan untuk menambah pelaburan sektor swasta dalam aktiviti pemprosesan berasaskan pertanian termasuk daripada GLC berkaitan pertanian, anak syarikat agensi pertanian serta persatuan dan koperasi petani dan nelayan. Tumpuan juga akan diberikan untuk meningkatkan penyertaan individu petani dan nelayan dalam aktiviti pemprosesan berasaskan pertanian. Pemprosesan keluaran akhir daripada komoditi pertanian untuk industri dijangka terus meningkat, seperti ditunjukkan dalam Jadual 3-11.

Jadual 3-11 : Pemprosesan Tempatan dan Penggunaan Komoditi Pertanian Untuk Industri 2000-2010



3.55 Industri Pemprosesan Getah dan Keluaran Getah. Dalam industri pemprosesan getah dan keluaran getah, usaha akan dilaksana untuk menggalakkan lagi pembangunan industri hiliran memandangkan kepada potensinya untuk mengeluarkan pelbagai produk nilai ditambah bagi pasaran tempatan dan eksport. Pelaburan yang lebih tinggi dalam pengeluaran barangan getah kegunaan industri (IRG) untuk memenuhi keperluan pelbagai industri akan digalakkan.

3.56 Inisiatif akan diambil untuk membangunkan tanda kualiti dan pensijilan untuk beberapa jenis keluaran getah terpilih di bawah kategori produk am getah (GRG) dan IRG. Di samping itu, usaha R&D dalam membangunkan bahan termaju serta teknologi pemprosesan dan pembuatan untuk menghasilkan produk baru dalam sektor kecil keluaran berasaskan getah akan dipergiat. Aktiviti R&D juga akan memberi tumpuan kepada membangunkan produk getah yang baru melalui penggunaan bioteknologi.

3.57 Industri Minyak Sawit. Dalam tempoh Rancangan, industri minyak sawit dijangka mendapat manfaat daripada lebih banyak kepelbagaian produk hiliran. Bagi mempercepatkan pembagunan industri hiliran minyak sawit, kelompok industri berasaskan minyak sawit (POIC) akan ditubuhkan di kawasan merentasi sempada Timur Johor-Selatan Pahang dan Selatan Kelantan-Utara Terengganu serta Sabah dan Sarawak. POIC akan berperanan sebagai pemangkin dalam mewujudkan rantaian nilai industri minyak sawit serta membantu pembangunan industri sokongan lain. Usaha juga akan dipergiat untuk membangunkan produk minyak sawit berjenama Malaysia terutama dalam industri derivatif oleokimia serta membina rangkaian di peringkat antarabangsa untuk menembusi pasaran baru.

3.58 Industri berasaskan minyak sawit akan digalakkan untuk mengembangkan aktivitinya ke luar negara terutama di negara yang mempunyai permintaan tinggi bagi minyak sawit dan derivatif. Kerjasama antara industri minyak sawit dengan institusi penyelidikan akan terus dipergiat untuk mempercepat pengkomersilan penemuan R&D untuk memperluas asas pembangunan produk baru dan menambah baik proses pembuatan. Pengkomersilan produk biojisim kelapa sawit dan biofuel akan dipercepat melalui penyertaan lebih meluas sektor swasta. Penyelidikan ke atas minyak sawit akan ditumpukan kepada penggunaan teknologi oleokimia termaju dan bioteknologi termasuk untuk produk nutraseutikal dan farmaseutikal.

3.59 Industri Kayu dan Produk Kayu. Pengilang perabot dan komponen perabot akan digalak untuk memberi tumpuan kepada kualiti dan reka bentuk keluaran yang berinovatif dan mempelbagai jenis keluaran untuk merangkumi keluaran khusus yang lebih berkualiti di samping meningkatkan aktiviti sedia ada. Langkah akan diambil secara agresif untuk menggalakkan eksport keluaran yang berkualiti tinggi sejajar dengan keperluan ekolabel berasaskan ekologi bagi mengekalkan bahagian pasaran serta menembusi pasaran baru.

3.60 Industri Bioteknologi. Selaras dengan Dasar Bioteknologi Negara, penggunaan bioteknologi dalam pertanian akan terus digalakkan dan dipergiat untuk menggembleng potensi sektor pertanian dalam mewujudkan kekayaan baru, terutamanya melalui pengeluaran klon berhasil tinggi, baka haiwan dan benih ikan yang lebih baik serta produk baru yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi. Untuk mempercepat aktiviti R&D dalam bioteknologi, institusi penyelidikan termasuk institusi pengajian tinggi akan dilengkapi dengan kemudahan dan peralatan yang bersesuaian. Di samping itu, penyelidik di sektor awam akan dilatih dalam bidang bioteknologi termaju termasuk biodiversiti melalui program penempatan dan kerjasama yang lebih meluas dengan sektor swasta.

3.61 Industri Pemprosesan Makanan. Industri pemprosesan makanan akan digalakkan untuk mengambil peluang daripada kedudukan Malaysia yang kukuh dari segi pensijilan halal bagi meneroka pasaran halal global yang semakin berkembang. Sehubungan ini, usaha akan dipergiat untuk membangunkan Malaysia sebagai hab serantau untuk makanan halal. Di samping menaik taraf infrastruktur dan kemudahan yang sedia ada untuk pengeluaran makanan halal, beberapa taman makanan halal yang baru akan ditubuhkan. Penekanan yang lebih juga akan diberikan untuk meningkatkan imej negara sebagai sumber makanan halal yang berkualiti dan selamat serta menonjolkan piawai pensijilan halal negara MS1500:2004, Garis Panduan Am dalam Pengeluaran, Penyediaan, Pengendalian dan Penyimpanan Makanan Halal sebagai piawai premium untuk makanan halal.

3.62 Pasaran untuk makanan mudah dan makanan fungsian dijangka berkembang pesat sejajar dengan perubahan corak penggunaan dan peningkatan kesedaran terhadap gaya hidup sihat. Sehubungan ini, pengeluaran dan bekalan makanan segera bagi makanan laut, produk ternakan dan makanan berasaskan sayur-sayuran yang sedia untuk dimakan akan digalakkan sebagai satu bidang pelaburan baru. Di samping itu, program “Malaysia the Truly Asian Kitchen” akan dilaksanakan. Pengeluaran makanan berasaskan buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk produk berserat tinggi, lepa dan jus buah serta bahan tambahan dan ramuan makanan juga antara bidang yang berpotensi untuk pelaburan baru. Makanan berasaskan ramuan minyak sawit dan koko akan terus dibangunkan dari segi kualiti dan jenis produk. Program sedia ada akan diperkukuh untuk membantu industri dalam penggunaan teknologi pemprosesan moden, pembungkusan yang berinovatif dan penjenamaan bagi memenuhi kehendak pengguna yang berbeza-beza serta permintaan pasaran tempatan dan luar negara. Penekanan akan juga diberi untuk mempermudah EKS bagi menjalin kerjasama dengan syarikat multinasional untuk menembusi pasaran eksport yang baru.

3.63 Aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan. R&D dalam industri berasaskan pertanian dan pengkomersilan penemuan R&D akan diperkukuhkan menerusi penyertaan yang lebih meluas oleh institusi pengajian tinggi dan sektor swasta. Pengkomersilan penemuan R&D yang berkaitan dengan pembangunan produk akan dipercepat melalui penyediaan insentif dan penglibatan GLC berkaitan pertanian. Penglibatan sektor swasta dalam R&D pertanian dan pengkomersilan penemuan juga akan ditingkatkan melalui modal teroka.

3.64 Program seperti penyediaan inkubator akan dilaksana untuk mempercepat pengkomersilan penemuan penyelidikan dan membangunkan usahawan baru. Agropolis akan ditubuhkan di Serdang, Selangor yang berfungsi sebagai hab lembah makanan serta pusat kecemerlangan bagi pengeluaran dan pemprosesan makanan berasaskan bioteknologi. Agropolis juga akan melaksanakan R&D pertanian melalui kerjasama lebih erat antara institusi R&D awam, institusi pengajian tinggi tempatan dan sektor swasta.

Memperkukuhkan Pemasaran dan Rangkaian Global

3.65 Dalam tempoh Rancangan, tumpuan akan diberikan bagi mempertingkat kecekapan penyampaian perkhidmatan pemasaran dan memperkukuh rangkaian global melalui pakatan strategik. Bagi tujuan ini, usaha akan diambil untuk memperkukuh pasaran tradisional dan menembusi pasaran baru. Program promosi akan dipergiat untuk meningkatkan penggunaan makanan yang mempunyai nilai pemakanan yang tinggi dan meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat Malaysia mengenai aspek keselamatan keluaran makanan.

3.66 Bagi memperkukuh lagi pemasaran komoditi makanan dan produk berasaskan makanan, usaha akan diambil untuk memastikan pematuhan keperluan antarabangsa. Usaha akan ditingkatkan bagi memperluas pelaksanaan skim akreditasi ladang dan piawai keluaran. Sehubungan ini, pusat setempat akan ditubuhkan untuk memudahkan akreditasi ladang dan pensijilan piawai bagi keluaran makanan. Fungsi Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA), LPP dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan dikaji semula bagi mempertingkat penyelarasan dalam bidang pemasaran. Di samping itu, Khidmat Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) akan diwujudkan bagi memastikan makanan yang diimport mematuhi piawai keselamatan makanan negara dan antarabangsa.

3.67 Langkah juga akan diambil untuk meningkatkan pengumpulan, penggredan dan pemasaran hasil pertanian tempatan dan keluaran industri berasaskan makanan melalui penubuhan Terminal Makanan Negara (TEMAN) serta pusat pengumpulan dan pengedaran yang baru di kawasan terpilih termasuk di Sabah dan Sarawak. Di samping itu, FAMA akan mengurus penambahan kontrak pembekalan keluaran pertanian, terutamanya dengan pemborong, pasar raya besar, pasar raya, hotel dan tempat peranginan.

3.68 Mekanisme untuk mendapatkan maklumat pasaran dan menjalankan perniagaan keluaran makanan menggunakan ICT akan dinaik taraf melalui peluasan sistem maklumat maya bagi penawaran dan permintaan (SDVI), perdagangan elektronik melalui portal FAMAXchange dan Agribazaar. Di samping itu, penyediaan 170 kemudahan tambahan Medan InfoDesa di kawasan luar bandar dijangka meningkatkan akses penduduk luar bandar kepada portal Agribazaar. LKIM akan memperkukuh lagi program pemasaran ikan melalui penglibatan lebih luas persatuan nelayan.

3.69 Pemasaran komoditi pertanian untuk industri, terutamanya minyak sawit akan bertumpu ke arah mewujud dan memperkukuh pasaran khusus melalui penubuhan rantaian proses pengeluaran di lokasi strategik di sekitar rantau tertentu dan menempatkan semula sebahagian daripada proses pembuatan di negara pengguna sebagai salah satu usaha untuk menembusi pasaran. Kriteria dan Petunjuk Bagi Pensijilan Pengurusan Hutan Malaysia (MC&I) yang diiktiraf sebagai kaedah pengurusan hutan secara mampan, akan diperluas untuk memenuhi keperluan negara pengimport, terutamanya Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun.

3.70 Konsul pertanian akan ditempatkan di negara terpilih yang mempunyai potensi pasaran eksport yang tinggi bagi keluaran makanan. Di samping itu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia akan mempertingkat usaha untuk mempromosi keluaran pertanian dan keluaran berasaskan pertanian negara.

Meningkatkan Pendapatan

3.71 Langkah yang lebih efektif akan diambil untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil, petani dan nelayan melalui peningkatan produktiviti dalam setiap sektor kecil pertanian. Pekebun kecil dan petani yang berusia lanjut akan digalakkan untuk menyertai skim keluar melalui penyatuan dan pemulihan tanah serta program tanam semula berkelompok. Pendapatan pekebun kecil getah dan kelapa sawit akan ditingkatkan melalui program tanam semula menggunakan klon berhasil tinggi berdasarkan konsep mini estet dan berkelompok serta pertanian campuran termasuk integrasi ternakan di ladang, akuakultur dan aktiviti ekonomi luar kebun. Pekebun kecil koko, lada hitam dan sagu, terutamanya di Sabah dan Sarawak akan disediakan bantuan kewangan untuk memulihkan kebun mereka melalui konsep estet serta menggalakkan penglibatan mereka dalam aktiviti pemprosesan berasaskan pertanian. Di samping itu, aktiviti yang dapat memberi pendapatan berterusan akan digalakkan dan latihan disediakan untuk meningkatkan kualiti hidup petani sara diri dan komuniti yang bergantung kepada hasil hutan.

3.72 Pesawah padi akan digalakkan untuk menyertai program mini estet dan tanaman berkelompok yang akan dilaksanakan oleh LPP dan Jabatan Pertanian serta Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADP). Dianggarkan seramai 25,000 pesawah padi akan mendapat manfaat daripada program ini dengan purata pendapatan bertambah daripada RM3,900 hingga RM7,800 sehektar setahun. Penekanan juga akan diberikan untuk menambah penyertaan mereka dalam Projek Sepuluh Tan Sehektar. Di samping itu, pesawah padi digalak untuk melibatkan diri dalam aktiviti pemprosesan makanan termasuk keluaran berasaskan beras.

3.73 Usaha akan diambil untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup peneroka dan generasi baru FELDA. Sehubungan ini, kawasan terpilih di skim pembangunan tanah FELDA akan dibangunkan sebagai pusat pertumbuhan baru yang mengandungi aktiviti industri hiliran serta dilengkapi infrastruktur dan kemudahan sosial yang lebih baik. Di samping itu, penglibatan peneroka dan generasi baru dalam aktiviti bukan kebun termasuk aktiviti industri berasaskan pertanian dan kraftangan akan ditingkatkan lagi. Seramai 9,390 usahawan baru dijangka diwujudkan dengan memperolehi pendapatan sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan.

3.74 Kualiti hidup nelayan pantai akan ditingkat melalui program sosioekonomi. Keupayaan nelayan pantai akan dipertingkat dengan menaik taraf bot, enjin dan alat penangkapan. Mereka juga akan digalakkan untuk melaksanakan aktiviti penternakan ikan dan pemprosesan berasaskan ikan untuk menstabilkan pendapatan mereka. Pendapatan penternak kecil akan dipertingkat melalui penglibatan dalam kontrak pembekalan keluaran ternakan. Penanam tembakau yang tidak cekap akan digalak menukar tanaman mereka secara beransur-ansur kepada tanaman alternatif yang dapat memastikan pendapatan berterusan melalui pelaksanaan kontrak pembekalan.

3.75 Untuk mempertingkat pendapatan isi rumah miskin dalam sektor pertanian, Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) serta program khusus untuk mempelbagai sumber pendapatan di kalangan petani, penternak dan nelayan akan diperluas lagi untuk memberi manfaat kepada lebih ramai isi rumah. Sejumlah 70,000 keluarga miskin dijangka mendapat manfaat daripada program ini yang merangkumi program bina upaya dan penyediaan bantuan rumah secara percuma kepada keluarga miskin tegar serta aktiviti menambah pendapatan, iaitu peserta akan memperoleh pendapatan tambahan minimum sebanyak RM500 sebulan. Satu mekanisme akan diwujudkan untuk memantau dengan rapi keberkesanan program ini ke atas kumpulan sasar.

Menambah Baik Sistem Penyampaian Perkhidmatan

3.76 Penyusunan semula agensi pertanian terutamanya yang terlibat dalam pembangunan komoditi makanan akan dilaksana untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan membantu pencapaian sasaran pertumbuhan sektor pertanian. Pelbagai aktiviti pertanian akan diurus dan dipantau secara bersepadu untuk mengelakkan pertindihan fungsi dan kumpulan sasar serta mengoptimumkan penggunaan sumber. Pendekatan bersepadu ini akan membantu pembangunan aktiviti nilai ditambah di sepanjang rantaian nilai termasuk pemprosesan berasaskan pertanian.

3.77 Penempatan pegawai dan kakitangan pelbagai agensi pertanian akan dilaksana berasaskan kepada pengezonan kawasan pengeluaran. Usaha ini termasuk menyusun semula dan menggabungkan cawangan di kawasan yang bukan lagi menjadi tumpuan pertanian. Anak syarikat agensi pertanian akan dikaji semula untuk memperkukuh keberkesanannya dalam pembangunan pertanian. Di samping itu, aktiviti pemasaran FAMA akan diselaraskan dengan Syarikat Pertanian dan Makanan Nasional (NAFC). Sehubungan ini, FAMA akan memberi tumpuan dalam membantu pemasaran keluaran pertanian oleh petani dan usahawan kecil serta melaksanakan fungsi kawal selia. Pemasaran dan pengedaran keluaran pertanian dan produk berasaskan pertanian berskala besar termasuk untuk eksport akan dilaksanakan oleh NAFC. Peranan LPP akan diperkukuh untuk menggalakkan penglibatan pertubuhan peladang dalam pelbagai aktiviti berkaitan pertanian di sepanjang rantaian nilai, pengkomersilan kebun kecil serta kontrak pembekalan keluaran pertanian dan estet nukleus.

3.78 Pembangunan industri lada hitam akan diperkukuh melalui penyusunan semula Jemaah Pemasaran Lada Hitam untuk mengambil alih tanggungjawab Jabatan Pertanian Sarawak berhubung dengan pengeluaran dan R&D lada hitam. Bagi mempercepat pembangunan industri kenaf dan herba, MOA akan dipertanggungjawabkan untuk menyelia pembangunan industri tersebut. Profesional daripada sektor swasta akan dilantik sebagai perintis untuk mengurus projek pertanian di kawasan terpilih. 



Lapuran Lengkap boleh didapati di sini:-



 

1 comment:

Anonymous said...

howdy cilipendang.blogspot.com admin found your blog via Google but it was hard to find and I see you could have more visitors because there are not so many comments yet. I have discovered website which offer to dramatically increase traffic to your blog http://explode-your-site-traffic.com they claim they managed to get close to 4000 visitors/day using their services you could also get lot more targeted traffic from search engines as you have now. I used their services and got significantly more visitors to my blog. Hope this helps :) They offer best services to increase website traffic at this website http://explode-your-site-traffic.com
To your success your friend
James